Sunday, May 15, 2011

Kualiti vokal Merosot

Konsert Separuh Akhir Mentor 5 akhirnya tiba! Kelibat 4 pasangan Mentor dan Protege disaksikan secara langsung di Auditorium MBSA malam semalam. Meriah dan bertenaga! Setiap Protege telah menyampaikan sebuah lagu solo dan juga sebuah nyanyian duet bersama Mentor masing-masing.

Konsert telah dimulakan dengan nyanyian solo Shiha mendendangkan lagu 'Memori Tercipta' yang dipopularkan oleh Shila OIAM. Salma muncul di pentas selepas itu dengan lagu 'Sedalam Mana Cintamu' disusuli Iqa dengan 'Khatimah Cinta'. Ratnah mengakhiri segmen lagu solo dengan rangkaian lagu 'Bukannya Aku Takut' & 'Seksis'.

Segmen kedua menyaksikan semua Mentor turun ke gelanggang. Pastinya rindu pada nyanyian Dato' Sharifah Aini, Erra Fazira, Edry dan Afdlin Shauki terubat malam semalam. Dato' Sharifah Aini mendendangkan medley lagu 'Sabarlah Menanti' & 'Hapuslah Airmatamu' bersama Shiha, diikuti oleh Erra Fazira & Salma dengan lagu 'Penipu'. Edry & Iqa menyusul dengan 'Kitalah Bintang' yang diselitkan dengan beberapa rap terkenal dari KRU. Afdlin & Ratnah menutup konsert malam tadi dengan lagu 'Sudah Kahwin Kah Belum' & 'Inikah Cinta'.

Dato' Ramli MS meneruskan tugas sebagai Juri Profesional dan ditemani oleh penyanyi tersohor dari Indonesia, Marcell yang bertindak selaku Juri Profesional Jemputan.

Nyanyian solo Shiha melihatkan usahanya untuk menyahut cabaran menonjolkan kemajuan dari peringkat kumpulan. Dari segi 'feel' Shiha berjaya menguasai lagu tersebut tetapi beberapa kesilapan dari segi vokal masih dapat dikesan. Seperti yang dinyatakan oleh Dato' Ramli kesilapan itu mungkin remeh tetapi masih terlalu jelas. Persembahan duet Dato' Sharifah Aini dan Shiha pula dilihat sebagai sebuah gandingan vokal yang menarik kerana menggabungkan kelantangan suara Mentor dan kelunakan suara Protege.

Salma mempertaruhkan capaian vokalnya yang tinggi dalam segmen nyanyian solo. Secara keseluruhan, Salma berjaya mengawal vokalnya dengan baik, namun ada sedikit kesilapan dikesan dari segi 'pitching'. Pujian masih boleh diberikan kerana lagu tersebut sememangnya sukar untuk  dinyanyikan. Sementara itu duet Erra Fazira dan Salma menampakkan percubaan Erra untuk menonjolkan gaya manja dalam penampilan dan persembahan Salma. Pada pendapat saya, percubaan Salma kurang menyengat. Nampaknya Erra masih perlu untuk membimbing Salma dalam bab ini. Dato' Ramli pula mempersoalkan pemilihan lagu. Padanya, dengan kebolehan Salma lagu-lagu yang lebih hit sepatutnya dipilih supaya kelebihan yang ada pada Salma dapat dipamerkan.

Iqa tampil dengan elemen nusantara dalam nyanyian solonya. Susunan muzik yang menarik, persembahan Iqa nampak kurang menjadi kerana 'feel' lagu tersebut tidak sampai selain beberapa kesilapan 'pitching'. Apapun, persembahan duet Edry & Iqa menjadi 'highlight' untuk konsert ini. Edry seumpama sudah menjumpai genre yang paling sesuai untuk Iqa dengan padanan lenggok nyanyian dan tona suara yang mirip dengan Joss Stone. Cukup menghiburkan ditambah pula dengan beberapa rangkap rap yang diselitkan dalam persembahan ini. Dato' Ramli berpuas hati dengan persembahan Iqa tetapi mahu melihat peningkatan pada minggu hadapan.

Ratnah kurang menyengat untuk persembahan solonya. Kawalan vokal yang agak goyah membuat Ratnah mengalami masalah untuk 'maintain notes' dalam beberapa frasa lagu 'Seksis'. Sungguhpun begitu, duet bersama Afdlin menghiburkan semua penonton. Afdlin memang bijak dalam memastikan keberkesanan persembahan Ratnah dengan elemen lakonan yang ringan untuk lagu duet mereka.

Juri Awam telah memberi 19 markah untuk Shiha, 20 markah untuk Salma, 17 markah untuk Iqa dan 18 markah untuk Ratnah. Jumlah keseluruhan tidak dinyatakan minggu ini,ianya akan diberitahu pada Separuh Akhir 2. Menurut Penerbit Eksekutif, Sufian Isa keputusan penuh minggu ini dan minggu hadapan akan diberitahu di penghujung  konsert minggu hadapan. Pihak produksi bertujuan untuk memberi galakan kepada semua Protege untuk terus berusaha dan menunjukkan peningkatan.

Saya  menilai yang ada sedikit kemerosotan dalam persembahan vokal kesemua Protege. Tetapi 'showmanship' masing-masing banyak membantu untuk memastikan persembahan secara keseluruhan masih di tahap yang memuaskan Saya berharap akan ada peningkatan yang jelas pada Konsert Separuh Akhir 2 pada minggu hadapan.

No comments:

Post a Comment